Persoalan ini mungkin tidak disedari atau difahami oleh segelintir
penduduk Pulau Pinang yang berada di bahagian Seberang Prai di mana majoriti
penduduknya adalah penduduk Melayu. Ada yang mengatakan Pulau Pinang akan
menjadi seperti Singapura yang mana majoriti penduduknya adalah Cina. Tetapi
hal ini begitu dirasai dan difahami oleh penduduk-penduduk di bahagian pulau
Pulau Pinang. Penulis mendapati bahawa penduduk Melayu berasa terpinggir di
bahagian pulau atas faktor-faktor tertentu. Persoalannya benarkah Melayu Pulau
Pinang dipinggirkan oleh kerajaan negeri?
Sejak dua penggal pilihan raya, isu peminggiran hak dan tanah orang-orang
Melayu di Pulau Pinang dicanang oleh akhbar-akhbar pro-UMNO dan hal ini
menyebabkan ramai yang pesimis dengan pemerintahan Pakatan Rakyat. Dakyah
bahawa Pulau Pinang telah diperintah oleh kaum Cina dan seterusnya kaum Melayu
dihalau dari negeri itu menjadi senjata utama GERAKAN-UMNO-BN untuk merampas
kembali negeri tersebut.
Namun dalam pilihan raya umum yang lalu, GERAKAN-UMNO-BN sekali lagi
tewas di tangan PR, malah gabungan pembangkang meluaskan lagi penguasaan dengan
kemenangan majoriti yang cukup besar.
Dalam satu pertemuan Krew Harakah dengan
beberapa penduduk di Kampung Masjid Batu Uban, rata-rata penghuninya mengakui
propaganda itu sebenarnya suatu yang digembar gemburkan. “Benar kaum Melayu di
sini semakin tidak bertanah, namun kenapa mereka ini kehilangan tanah? Adakah yang
dilaporkan media itu benar atau sebaliknya,” kata seorang penduduk, Tahir
Yahya, 60 tahun yang merupakan bekas kakitangan Jabatan Penilai yang mendiami
kawasan itu sejak kecil.
Biarpun duduk di rumah kos rendah di situ, namun Tahir berazam untuk
tidak menjual rumahnya kepada sesiapa sahaja sekalipun kerana mahu
mempertahankan kehidupan di sini.
Katanya, “jika saya mahu jual, rumah kos rendah yang harganya dahulu
sekitar RM25,000 kini boleh dapat sehingga RM120,000. Tetapi apakah yang akan
ada pada kita suatu hari nanti?” soalnya sambil mendedahkan beberapa kes
penjualan tanah oleh kaum Melayu kerana hanya melihat kepada keuntungan semasa.
Tahir mendedahkan bahawa ramai dalam kalangan pemilik tanah khasnya kaum
Melayu telah menjual tanah mereka kepada beberapa syarikat pembinaan kerana
melihat tawaran yang sangat lumayan berikutan nilai tanah di sini semakin
tinggi.
“Sekarang ini harga sekaki tanah antara RM200 hingga RM400. Sejak dahulu
lagi ramai orang Melayu menjual tanah mereka kerana tertarik dengan harga yang
ditawarkan. “Kemudian, berlaku migrasi orang dari pulau ke seberang secara
beramai-ramai memandangkan mereka membeli tanah di seberang (tanah
besar),”dedahnya.
Menurut Tahir lagi, ada juga kes membabitkan penjualan tanah selepas ibu
bapa meninggal dunia oleh waris yang berebut untuk memiliki harta pusaka.
“Mereka ini hanya nampak duit berbanding nilai yang ada pada tanah itu jika
dikekalkan. Jadi, bagi saya ini bukan salah kerajaan negeri yang ada pada hari
ini kerana mereka tidak pernah paksa atau usir penduduk Melayu di sini,”
ujarnya lagi.
Beliau yang juga salah seorang kariah Masjid Kampung Batu Uban berkata,
ada juga kes di mana pemilik tanah (kaum Melayu) yang memohon kepada kerajaan
negeri untuk tanah mereka ditukar status daripada pertanian untuk
pembangunan.
Pertukaran itu katanya hanya semata-mata untuk membolehkan tanah itu
dijual pada harga yang mahal kepada pemaju perumahan. “Kita tidak boleh
salahkan kerajaan negeri, hal ini berlaku kerana sikap kaum kita sendiri yang
lebih melihat nilai wang berbanding nilai warisan,” katanya lagi.
Ditanya mengenai harga rumah di Pulau Pinang yang meningkat mendadak
mutakhir ini, Tahir yang berpengalaman dalam bidang penilaian berkata,
permintaan yang tinggi dan kewujudan spekulator menyebabkan harga rumah
melambung.
Malah kehadiran warga asing di sini untuk memiliki tanah juga menyumbang
kepada peningkatan harga, selain sewaan rumah yang sangat tinggi. “Rumah pangsa
kos rendah kini mencecah RM100,000, sementara rumah teres (setingkat dan dua)
antara RM500 000 ke RM800 000. Terdapat kecenderungan kaum Melayu untuk menjual
rumah mereka kepada kaum lain apabila melihat harga rumah semakin meningkat,”
katanya.
Apatah lagi tambahnya, di Pulau Pinang tidak wujudnya tanah rizab Melayu,
menyebabkan penjualan rumah mudah berlaku antara kaum Melayu dengan pembeli
kaum lain. “Kalau ada rizab Melayu, saya yakin hal ini tidak akan berlaku,”
katanya.
Hasil daripada temubual di atas, penulis dapat membuat kesimpulan bahawa
sikap orang Melayu sendiri yang menyebabkan orang Melayu kehilangan tanah di
negeri sendiri tanpa mereka sedari. Selain itu, pentingnya untuk mewujudkan
tanah rizab Melayu seperti yang diwujudkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk
memelihara kawasan dan tanah orang-orang Melayu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan