Bismillah
walhamdulillah…
Alhamdulillah
diri ini masih diberi peluang untuk bernafas dan di setiap hela nafasku ini
mudah-mudahan diberkati oleh Pencipta yang Maha Agung. Sesungguhnya diri ini,
jiwa ini milik Dia. Bila-bila masa sahaja Dia berhak untuk mengambilnya kerana
aku ini hanya lah hamba yang berkhidmat kepada Tuhanku.
Allah
berfirman:
“Tidak
Aku ciptakan Jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepadaKu” (Az zariyat:56)
Penulisanku
di sini hanyalah sebuah peringatan untuk diriku dan diri pembaca sekalian. Apabila
aku menulis sekaligus aku mengingatkan diriku sendiri tentang siapa diriku dan
di mana kedudukanku yang sebenar. Segulung ijazah sarjana muda mahupun sarjana
tidak menjadi syarat kepada penerimaan Tuhanku terhadap segala amalanku. Akan tetapi,
aku sangat mengharapkan penerimaan Tuhanku dan aku niatkan perjalanan ilmu ini
semata-mata keranaNya untuk memberi sumbangan kepada masyarakat kelak di
samping melebarkan ilmu Islam yang begitu indah untuk disebarkan.
Teringat
arwah pensyarahku yang berasal dari Iraq sudah pun meninggal dunia (Al-Fatihah)
kerap kali sebelum memulakan kelas beliau akan memberikan tazkirah kepada
pelajar-pelajarnya. Aku terpegun dan terpaku mendengar. Seorang pensyarah yang
pakar dalam sejarah Asia Barat boleh berbicara tentang hadith Rasulullah s.a.w.
dengan caranya tersendiri. Sudah tentu bahasa Arab menjadi kefasihannya. Jadi tidak
hairanlah bagi sesetengah orang. Tetapi aku melihatnya dari sudut yang berbeza.
Jarang sekali pensyarah akademik boleh berbicara tentang Islam berserta dengan
dalil naqli di dalam kelas melainkan subjek-subjek agama. Aku kira inilah salah
satu sahamnya di akhirat kelak. Walaupun sekejap sahaja beliau berbicara tetapi sangat menusuk. Kata-katanya
dapat diibaratkan sebagai nasihat seorang ayah kepada anaknya. Sejak itu aku
menjadikan beliau sebagai idolaku. Aku ingin membuat perkara yang sama kepada
pelajar-pelajarku kelak. Akademik dan agama tidak boleh dipisahkan. Hal ini
telah diterapkan sejak zaman persekolahan lagi dan alhamdulillah aku dapat
menyeimbangkan kedua-duanya. Moga Allah memberiku petunjuk dan ilhamNya dalam
setiap tindakanku.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan