Sedang saya 'blog walking' di alam maya ini sambil-sambil mencari idea untuk menulis terjumpa satu artikel daripada Maslina Alias yang merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Bagi saya menarik untuk dikongsi artikel ini yang bertajuk USRAH YANG DIBERKATI. Antara isi-isi penting yang dapat saya kutip daripada artikel ini ialah untuk menjadikan usrah/keluarga yang diberkati memerlukan beberapa asas yang perlu diterapkan dalam sesebuah rumah tangga.
- Berdoa untuk menjadi pemimpin yang baik bermula dari keluarga sendiri
- Taqwa kepada Allah [Al-A'raf:96]
- Redha dengan apa yang Allah kurniakan terutamanya perkara yang sedikit dan kekurangan yang ada pada diri
- Membaca Al-Quran bersama ahli keluarga [Al-An'am:155]
- Memberi salam sewaktu memasuki rumah
- Makan bersama
SESUATU perkara yang diberkati itu adalah bermaksud “kebaikannya bertambah ataupun berkembang”. Dalam konteks keluarga bagaimanakah dikatakan sebuah keluarga yang diberkati? Perkahwinan seperti yang dimaklumi merupakan permulaan kepada pembinaan sesebuah keluarga. Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rum, ayat 21 yang bermaksud, Allah menciptakan pasanganmu dari dirimu sendiri agar kamu menemukan ketenangan di sampingnya, Dia juga menciptakan kasih sayang dan belas kasihan yang mengikat. Yang demikian itu merupakan tanda bagi orang yang berfikir. Kasih sayang perlu diterapkan di dalam rumahtangga, terutama kepada pasangan yang baru berkahwin bagi mengelakkan perselisihan, bahkan menambahkan barakah dalam kehidupan berumahtangga.
Keberkatan di dalam rumahtangga adalah perkara yang amat penting, sehinggakan Allah SWT mengaitkan di dalam Al-Quran keberkatan itu dengan beberapa orang Nabi. Antaranya Nabi Ibrahim a.s., Nabi Ishak a.s., Nabi Nuh a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w. Sekiranya kebahagiaan dan keberkatan di dalam rumahtangga semakin pudar, setiap ahli di dalam rumahtangga perlu mencari jalan penyelesaian supaya ia tidak berlarutan dan akhirnya menjadikan rumahtangga tersebut hambar dan musnah akibat tidak adanya usaha ke arah memperbaikinya.
Melalui rancangan Usrati yang bersiaran di IKIMfm jam 5.15 petang Khamis, Ustaz Syed Abdul Kadir minggu ini mengajak para pendengar untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT bagi mendapat dan mengekalkan keberkatan di dalam rumahtangga. Namun, dalam berdoa kepada Allah SWT bukan sekadar berdoa mendapat kebahagiaan dan keberkatan di dalam rumahtangga, malah perlu berdoa dengan mengharapkan diri menjadi pepimpin yang baik bermula dari keluarga sendiri. Keluarga yang baik pastinya akan membuatkan kebaikan dan keberkatan itu melimpah kepada jiran tetangga, saudara mara dan masyarakat sekeliling.
Antara elemen penting dalam mendapat keberkatan di dalam rumahtangga adalah Taqwa, sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-A’araf, ayat 96 yang bermaksud, Sekiranya penduduk suatu negeri beriman kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, pasti Kami bukakan bagi mereka keberkatan dari langit dan bumi, namun mereka mendustakan kebenaran maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan yang mereka lakukan. Allah SWT telah berjanji akan memberikan keberkatan kepada sesiapa sahaja yang bertaqwa kepada-Nya.
Saidina Ali bin Abi Talib menterjemahkan taqwa adalah “takut kepada Allah Yang Maha Agung, beramal dengan perintah Allah, redha terhadap yang sedikit dan bersiap-siap untuk menghadapi Hari Kebangkitan”. Rumahtangga tidak akan mendapat keberkatan sekiranya tiada rasa taqwa di dalam diri. Sifat takut kepada Allah perlu diterapkan di dalam rumahtangga sama ada suami, isteri dan anak-anak. Apabila rasa takut kepada Allah ada, setiap ahli di dalam keluarga tidak akan melakukan perkara yang dilarang dan dimurkai Allah. Bagi mendapat keberkatan didiklah keluarga untuk sentiasa redha dengan apa yang Allah kurniakan, terutamanya dengan yang sedikit ada pada diri. Jangan sekali-kali merungut dan tidak berpuas hati dengan yang sedikit Allah kurniakan kepada kita. Dan yang terakhir disebut oleh Saidina Ali bin Abi Talib ialah bersedia dengan kedatangan hari akhirat.
Ustaz Syed Abdul Kadir turut berkongsi dengan para pendengar bagaimana untuk memulakan latihan di dalam rumahtangga bagi mendapat keberkatan. Perkara pertama yang boleh dilakukan adalah membaca Al-Quran bersama ahli keluarga. Ini adalah perkara yang mudah boleh dilakukan di samping mengeratkan kasih sayang di antara ahli keluarga. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-An’am, ayat 155 yang bermaksud, Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah ia dan bertaqwalah agar kamu diberi rahmat. Jangan jadikan amalan membaca Al-Quran sebagai bermusim hanya di bulan Ramadan. Malaikat akan datang ke rumah yang disinari dengan bacaan Al-Quran. Bermulalah dengan sedikit, iaitu permulaan bacaan dalam lima minit setiap ahli dan setiap hari semakin bertambah bacaan supaya istiqamah.
Perkara seterusnya yang boleh dilakukan ialah memberi salam sewaktu memasuki rumah. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud, “Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah- rumah (ini) hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang berarti memberi salam) kepada dirimu sendiri, salam yang ditetapkan dari sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik.” Di dalam hadith juga ditekankan berkenaan pentingnya memberi salam. Dari Anas bin Malik r.a., ia berkata bahawa Rasulullahs.a.w. berkata padanya, “Wahai anakku, jika engkau memasuki rumah dan menemui keluargamu, ucapkanlah salam biar datang berkah padamu dan juga pada keluargamu.” Didiklah ahli keluarga bermula dari anak kecil tentang keberkatan dalam memberi salam sama ada rumah tersebut ada penghuni di dalamnya ataupun tidak.
Perkara ketiga yang boleh dilakukan bagi mendapatkan keberkatan di dalam rumahtangga adalah makan bersama. Kebanyakan daripada kita memberikan alasan sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa untuk makan bersama. Nabi s.a.w. pernah didatangi oleh satu keluarga dan memberitahu kepada Nabi bahawa mereka makan tetapi tidak merasa kenyang. Nabi s.a.w. menjawab, “Mungkin kamu makan secara berasingan dan tidak bersama.” Mereka menjawab “Ya betul.” Maka Nabi menjawab “Kamu berkumpullah pada makanan-makanan kamu, sebutlah nama Allah, maka kamu akan diberkati dengan makanan tersebut.” Atas sebab keberkatan ini jugalah dianjurkan oleh Islam supaya membaca doa sebelum makan bagi mendapatkan keberkatan.
Wallahua'lam. Semoga bermanfaat.
http://ikimfm.my/usrati-diberkati/

Tiada ulasan:
Catat Ulasan