Selasa, 17 Disember 2013

sepintas lalu sejarah politik Malaysia

Bismillah wal hamdulillah...

Kali pertama 'post' tentang sejarah politik Malaysia. Sejarah sepatutnya dijadikan sebagai panduan dalam merangka sistem politik Malaysia tanpa menafikan rujukan utama umat Islam iaitu Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah s.a.w.


Sejarah tempatan jarang-jarang mendapat tempat di dalam mana-mana penulisan sejarah. Sejarah perjuangan menentang penjajah kerapkali bermula dengan peristiwa yang sudah hampir dengan kemerdekaan; yakni beberapa tahun sebelum kemerdekaan. Peristiwa kemerdekaan hanya berkisar tentang bagaimana Tunku Abdul Rahman mendapatkan kemerdekaan di London. Jarang-jarang penulisan sejarah memberi fokus kepada perjuangan pahlawan-pahlawan tempatan menentang penjajah demi mempertahankan tanah air mereka. Tanpa usaha dan perjuangan mereka kemungkinan kita masih berada di bawah naungan British. Wallahua’alam.

Aku amat tertarik dengan sejarah politik yang aku pelajari peringkat Master ini. Penekanan adalah sejarah jangka masa panjang dan bukannya ‘sejarah kontot’. Sejarah kontot ini kali pertama aku dengar istilah ini di sini. Benar sekali, jika kita tidak menelusuri sejarah jangka panjang, kita tidak dapat membuat kesimpulan yang telus dan persoalan-persoalan yang timbul sukar untuk diselesaikan. Lantas sejarah jangka panjang itu penting untuk kita menilai kembali akan kesan-kesan dan punca-punca sesuatu peristiwa itu terjadi.
Sejarah Malaysia ini bermula dengan pembentukan negeri Melaka. Sekiranya sejarah Malaysia bermula dengan Tunku Abdul Rahman, sukar untuk kita mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul. Hakikatnya, orang Melayu Islam pada zaman itu, bukanlah meliputi negeri-negeri di Tanah Melayu sahaja, bahkan merangkumi Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand dan banyak lagi  tempat yang telah ditukar namanya hari ini. Begitu luas sekali kepulauan Melayu pada zaman tersebut. Zaman ini adalah zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang melaksanakan hukum-hukum Islam walaupun bukanlah keseluruhannya. Hal ini membuktikan bahawa kepulauan Melayu ini telah pun melaksanakan hukum Islam. Sekiranya kerajaan ingin melaksanakan hukum Islam pada zaman ini tidak bersalahan langsung dengan sejarah apatah lagi dengan nas Al-Quran dan Sunnah.

Perjuangan menentang kuasa asing seperti Portugis, Belanda, Siam dan British oleh penduduk tempatan jarang-jarang di highlight kan. Bahkan ada antara mereka yang namanya tidak tercatat pun di dalam sejarah tanah air. Nama-nama seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Dol Sa’id dan sebagainya merupakan antara pahlawan-pahlawan yang mengetuai penduduk tempatan menentang penjajah. Penglibatan sultan-sultan juga tidak terkecuali di dalam perjuangan Kedah melawan Siam contohnya. Penentangan-penentangan mereka bukanlah tiada sebab dan musababnya. Penentangan mereka mempunyai sebab dan tujuan. Walaubagaimanapun, penentangan mereka ada yang berjaya dan ada yang tidak. Tetapi, hal ini tidak mematahkan semangat mereka untuk berjuang membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan kuasa asing. Siri perjuangan mereka membawa kepada kesedaran kemerdekaan abad ke-20. Oleh itu, perjuangan kemerdekaan abad ke-20 adalah rentetan daripada peristiwa penentangan pahlawan-pahlawan sebelumnya. Ianya bukanlah kesedaran yang baru muncul pada abad ke-20. Sejarah Malaysia mempunyai perkaitan dengan sejarah jangka panjang. Tidak adillah jika sejarah hanya diberi penumpuan kepada sejarah kemerdekaan abad ke-20 sahaja. Penulisan-penulisan sastera turut menjadi pencetus kepada semangat perjuangan kemerdekaan tanah air. Oleh itu, penulisan yang berbaur perjuangan sangat penting kepada pejuang-pejuang tempatan. 

Sejarah kemerdekaan abad ke-20 bukanlah sumbangan beberapa orang sahaja. Bahkan melibatkan ramai rakyat tempatan yang turut bersama-sama menentang penjajah. Nama-nama seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Mustapha Hussin, Ishak Haji Mohammad (Pak Sako), Khatijah Sidek, Sakinah Junid dan sebagainya jarang sekali ditekankan oleh arus perdana. Mereka-mereka ini antara yang menjadi faktor pendesak kepada British untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan bukanlah usaha daripada satu pihak sahaja. Dalam kalangan pejuang kemerdekaan terdapat golongan yang menyokong pihak British dan golongan yang tidak berkompromi dengan British kerana inginkan sebuah kerajaan yang mempunyai pemerintahan sendiri. Mereka ialah golongan yang tidak berkompromi dengan pihak British. Adakah sebab ini sumbangan mereka kurang diberi perhatian oleh penulisan sejarah?

Kemuncaknya adalah zaman darurat apabila British mengambil kesempatan ini dengan menahan ulama’2 yang tidak berkaitan langsung dengan motif sebenar diisytiharkan darurat. Hal ini melumpuhkan kesatuan-kesatuan yang menuntut kemerdekaan pada waktu itu. Walaubagaimanapun, strategi British ini tidak mematahkan semangat pejuang-pejuang tempatan untuk menekan British membebaskan tanah air daripada cengkaman mereka.

Bersambung…….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan