Selasa, 13 Mac 2012

Be positive ^_^

          


Bismillah walhamdulillah...

          Pengajaran yang aku terima dalam kehidupan ini adalah jangan sesekali berputus asa. Setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya. Akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah wajar digunakan untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Begitulah hikmah akal yang Allah kurniakan. Untuk mencari penyelesaian kpd permasalahan dalam seluruh aspek kehidupan agar ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Di sini pula adalah peranan ilmu. Bagaimana kita menghadapi dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Di suatu saat, kita amat buntu untuk mencari jalan penyelesaian. Ketahuilah bahawa Allah ingin sekali mendengar hambanya merintih, menangis dan menyerahkan segala urusan hanya kepadaNya. Kadang-kadang manusia cepat lupa dengan kesenangan yang dikecapi. Seolah-olah kesusahan tak akan menjelma lagi dalam kehidupan. Itulah kenikmatan yang Allah kurniakan. Jangan kita lupa, Allah memberi kita ujian kerana Dia masih sayang dan ingatkan kita. Aku kerap membisikkan perkara ini kepada diriku di saat aku kesedihan dan dilanda permasalahan. Kita juga mesti akui, kita perlukan orang lain dalam kehidupan kita. Kita tidak akan mampu menanggung segala bebanan permasalahan seorang diri. Pakar-pakar motivasi ada mengatakan, untuk mencapai kejayaan manusia perlukan sokongan samada motivasi, kata-kata semangat mahupun kewangan. Sukar untuk berjaya tanpa bantuan orang-orang sekeliling. Mudah-mudahan di sekeliling kita wujud orang-orang yang bersedia untuk memberi sokongan kepada kita. Bagaimana? Kita terlebih dahulu harus memberi kepercayaan kepada diri kita sendiri dan org lain bahawa kita tidak akan mengalah. Dengan cara ini, kita bukan sahaja membina perhubungan yang baik dengan Allah malah dengan orang-orang sekeliling kita. Tidak akan mengalah di sini bukan bermakna kita bersikap angkuh dan sombong. Akan tetapi, ia bermaksud kita tidak akan menyerah sahaja dengan apa yang berlaku tanpa berusaha mencari jalan penyelesaian. Setelah itu, istilah lain pula wujud iaitu TABAH. Orang yang berjaya mengharungi dugaan dan cabaran adalah dikenali sebagai seorang yang tabah. Permasalahan mendidik seseorang bersabar dan berfikir. Dari situlah pengalaman hidup diperoleh.

Wallahu Ta'ala a'lam.

1 ulasan:

  1. - terusik hati -

    ingatkan daku jika terlupa
    kejutkan daku kalau terlena
    sedarkan daku sekiranya terleka

    BalasPadam